Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, walaupun PAS Selangor boleh memberi pandangan mengenai cadangan itu tetapi mereka tiada kuasa untuk membuat sebarang keputusan.
“Media telah meminta komen saya tentang pelawaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar PAS kembali bekerjasama dengan PKR dan DAP.
“Komen saya adalah perkara seperti ini hanya boleh diputuskan oleh PAS Pusat. PAS Selangor yakin dengan kebijaksanaan dan pandangan jauh PAS Pusat yang akan mengambil kira situasi di negeri-negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun bagi PAS Selangor katanya, kerjasama antara ketiga-tiga parti berkenaan masih berjalan seperti biasa dalam kerajaan negeri itu.
Semalam, Azmin menyarankan PAS kembali bersama DAP dan PKR sebagai sebuah pasukan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Menurutnya, parti pembangkang juga perlu bermuhasabah diri atas kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kerana ia adalah petanda rakyat Sarawak menolak parti pembangkang berbalah sesama sendiri.
Katanya, pencapaian parti pembangkang mungkin lebih baik jika parti-parti pembangkang tidak berpecah, sebaliknya bersatu hati.