
Malay Mail Online memetik beliau sebagai berkata, mana-mana PRK perlu diadakan dalam temoh 60 hari daripada tarikh kerusi itu diisytiharkan kosong oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan tempoh itu jatuh pada hari kedua atau ketiga Aidilfitri nanti.
“Itu jangkaan saya. Saya tidak rasa mereka akan mengadakan pilihan raya ketika Hari Raya.
“Jadi saya rasa sama ada pada bulan Ramadan atau sebelum Ramadan yang bermula 6 Jun ini,” katanya yang dilaporkan akhbar itu pada perhimpunan bulanan kerajaan negeri Selangor hari ini.
Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong, selepas wakil rakyat terbabit merangkap Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak, Khamis lalu.
Tragedi itu turut meragut nyawa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; suami Noriah, Asmuni Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Sundaran Annamalai dan pengawal peribadi Noriah, Konstabel Ahmad Sobri Harun.
Satu lagi mayat ditemui pagi tadi, namun pihak berkuasa belum mengesahkan jika ia adalah milik juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.