UMNO kena kuat matang bela nasih rakyat- Abu Hassan

UMNO kena kuat matang bela nasih rakyat- Abu Hassan

Peringkat cawangan parti mesti diperkasa bagi meyakinkan masyarakat bahawa parti keramat kepada orang Melayu itu masih relevan.

Tan-Sri-Dr-Abu-Hassan-Omar

SHAH ALAM:
UMNO perlu terus kuat dan matang bagi memastikan parti itu terus bernafas dan bergerak untuk membela nasib rakyat.

Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Selangor Tan Sri Dr Abu Hassan Omar berkata sehubungan itu, peringkat cawangan parti mesti diperkasa bagi meyakinkan masyarakat bahawa parti keramat kepada orang Melayu itu masih relevan.

“Cabaran UMNO paling besar pada hari ini ialah bagaimana kita mahu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti di peringkat negara secara amnya dan Selangor khususnya.

“Bagi saya kita perlu kuat dan lebih berazam untuk kembalikan kegemilangan UMNO termasuk merampas semula Selangor daripada pembangkang dalam pilihan raya umum ke-14 nanti,” katanya kepada Bernama di sini.

Abu Hassan yang juga bekas Menteri Besar Selangor berkata parti itu juga perlu memastikan perjuangan agenda bangsa dalam pelbagai isu termasuk kemasyarakatan, pendidikan dan nasional mencapai matlamatnya, seiring dengan usianya yang menginjak ke-70 tahun.

Katanya, selain itu anggota UMNO sendiri perlu memainkan peranan dalam memperkukuh parti termasuk memberikan kesetiaan dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan tertinggi parti tersebut.

“Kesetiaan itu memainkan peranan dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan ahli…seperti kami dahulu yang sangat setia terhadap parti dan presiden (parti).

“Begitu juga dengan kepercayaan…anggota harus tanamkan sifat kepercayaan terhadap presiden dalam mengemudi parti…apabila hilangnya perkara-perkara ini (kesetiaan dan kepercayaan), parti akan goyah dan secara tidak langsung kita akan gagal untuk menjayakan agenda parti,” kata Abu Hassan yang juga pernah menyandang jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor.

Tambahnya, UMNO harus merapatkan semula perpaduan dan hubungan antara anggota bagi mengukuhkan kestabilan terhadap parti terbesar orang Melayu itu.

“Singkirkan juga sifat curiga dan rasa tidak puas hati dalam kalangan kita serta bersatu hati dalam menangani sebarang jenis konflik yang wujud di pelbagai peringkat parti,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Hassan turut mengingatkan barisan muda UMNO supaya tidak melupakan perjuangan kepimpinan UMNO terdahulu termasuk dalam mempertahankan hak-hak orang Melayu.

Beliau berkata kumpulan itu juga perlu seikhlas hati menggalas amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat sebaik mungkin sekiranya mahu melihat UMNO terus bertahan.

“Waktu saya dahulu, perjuangan parti adalah keutamaan kami, kami tidak kisah bazirkan tenaga dan masa untuk UMNO demi kepentingan bangsa…mungkin kerana faktor pembangunan dan kesibukan menguruskan tugasan lain, telah memberi cabaran
kepada ahli untuk meletakkan komitmen sepenuhnya terhadap parti.

“Apa pun cabaran…kenanglah jasa pemimpin UMNO terdahulu, bagaimana susahnya mereka untuk menubuhkan UMNO sekali gus mempertahankannya sehingga UMNO masih lagi berdiri teguh sehingga hari ini,” tegas anak kelahiran Kuala Selangor
itu.

-Bernama

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.