Jenazah Allahyarham disemadikan kira-kira jam 2 pagi di kampung kelahirannya selepas disembahyangkan di Masjid Ar Rahmah, Batu 12 di sini.
Selain anggota keluarga, turut hadir di tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar dan Naib presiden Gerakan Datuk A. Kohilan Pillay.
Allahyarham, 52, yang juga anggota Parlimen Sungai Besar meninggalkan empat orang anak berumur 29, 24, 21 dan 19 tahun daripada perkahwinan beliau sebelum ini serta seorang anak angkat berumur tiga tahun.
Noriah merupakan mangsa pertama yang ditemukan selepas pesawat Eurocopter AS350 yang dinaiki bersama lima lagi dari Betong ke Kuching, hilang petang Khamis.
Selain Noriah, turut menaiki helikopter sama ialah suaminya Asmuni Abdullah dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar, yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas turut menaiki pesawat malang itu.
-Bernama