Abidin berkata demikian kepada pemberita selepas menziarah jenazah tersebut di Hospital Umum Sarawak di sini.
Selain Noriah, suaminya Asmuni Abdullah dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang juga Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia turut menaiki helikopter itu.
Turut berada di dalam pesawat itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas.
Mayat ditemui berhampiran serpihan helikopter di persisiran Sungai Batang Lupar di Sebuyau pada tengah hari tadi.
Helikopter jenis Eurocopter AS350 itu dalam penerbangan dari Betong pada 4.12 petang menghala ke Kuching sebelum nahas itu berlaku.
Noriah berada di Betong untuk menjalankan tugas-tugas berkaitan kementeriannya semasa pilihan raya negeri ini.
Sebelum ini Noriah dilaporkan lebih rela menaiki kereta, sekalipun perjalanan itu memakan masa, disebabkan beliau tidak sedap hati menaiki helikopter.
Pendedahan itu dibuat anak saudara Noriah, Ummu Hani Assaidah Abdullah, 30, yang mendapat tahu perkara berkenaan daripada ibunya yang dihubungi Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu beberapa minit sebelum beliau berlepas.
Datuk Noriah Kasnon, 52, dilahirkan di Tanjung Karang dan mempunyai empat orang anak, dua perempuan dan dua lelaki.
Beliau memulakan kariernya sebagai seorang peguam, berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran kerajaan.
Lulusan bidang undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 1988, beliau aktif dalam UMNO sejak 1992 dan merupakan penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar sejak Pilihan Raya Umum 2004.
Bermula sebagai setiausaha parlimen Kementerian Penerangan selama empat tahun sejak Mac 2004, Noriah, ahli Parlimen Sungai Besar, Selangor dinaikkan jawatan kepada timbalan menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat di bawah Kabinet baharu bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pada April 2009, di bawah pentadbiran baharu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau dilantik sebagai timbalan menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
Pada 2012, beliau ditukarkan menjadi timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan setahun kemudian selepas Pilihan Raya Umum 2013, beliau dipindahkan ke Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi hingga sekarang.
Dalam arena politik pula, Noriah pernah menjadi setiausaha Wanita UMNO Selangor pada 1992 sebelum dilantik sebagai setiausaha Barisan Nasional Selangor selama empat tahun dari 2000.
Pada 2005, beliau dilantik sebagi pengerusi Biro Penerangan Wanita UMNO Selangor dan menjadi anggota jawatankuasa Biro Wanita UMNO Malaysia.
