Pengasas Teksi Premium Big Blue, Datuk Shamsubahrin Ismail menjelaskan perlaksanaan e-hailing akan hanya mendorong pemandu meninggalkan teksi masing-masing dan menyertai Uber atau Grab kerana ia mengurangkan tanggungan mereka.
Menurut Shamsubahrin, secara amnya seorang pemandu teksi perlu membayar kos penyenggaraan kenderaan, bahan bakar termasuk gas dan sewa kenderaan kepada pihak syarikat.
“Mereka sudah tentu akan memilih untuk memiliki kenderaan sendiri apabila ‘e-hailing’ dilaksanakan pada hujung tahun ini kerana lebih murah dan jimatkan kos mereka,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di Wisma Central, Jalan Ampang disini.
Sebelum ini The Sun Daily melaporkan SPAD telah mencadangan pelaksanaan e-hailing ke Jemaah Menteri bulan lalu untuk membolehkan servis perkongsian kenderaan atas talian seperti Uber dan Grab beroperasi secara sah.
Menurut laporan portal tersebut, dianggarkan seramai 130,000 pemandu Uber dan Grab sepenuh masa dan separuh masa akan bersaing secara sah dengan 67,000 pemandu teksi yang aktif sekiranya inisiatif e-hailing ini dilaksanakan.
Mengulas lanjut, Shamsubahrin mendakwa sejak tiga bulan yang lepas, 80 peratus pemandu teksi telah memulangkan kenderaan mereka kepada syarikat teksi masing-masing.
“Saya tidak mahu pemandu teksi memulangkan kembali kereta yang disewa kapada syarikat teksi sebelum ini. Ini kerana syarikat seperti saya ini tentunya akan rugi,” katanya.
Menurutnya lagi, e-hailing akan memberi kerugian kepada syarikat-syarikat teksi yang telah melabur banyak wang membeli kenderaan yang banyak.
“Siapakah yang menyokong industri teksi sebelum Uber? Orang seperti Zalnas Limousine Taxi Service Provider dan Warisan Radio Taxi Service yang telah melabur banyak dalam industri teksi ini,” kata Shamsubahrin.
Industri teksi dipercayai antara pelanggan penting Proton. SPAD mensyaratkan hanya Proton Exora, Proton Persona dan Progon Saga (baru) selain Toyota Innova boleh digunakan sebagai teksi 1 Malaysia (TEKS1M).
Kumpulan Taxi Sunlight dikatakan konglomerat teksi terbesar di Malaysia dengan lebih 4,000 pemandu bernaung dibawahnya.
