Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) Prof Datuk Dr Mohd Jamil Mukmim berkata kewujudan Hang Tuah telah dibuktikan melalui kajian ahli sejarah negara dan sumber Melayu lain seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah, juga dokumen lain dari luar negara.
“Ramai tokoh pahlawan dunia terkenal dari empayar Greek, China dan sebagainya pada zaman dahulu namun tidak pula dilakukan ujian DNA untuk mengesahkan kewujudan mereka,” katanya pada sidang akhbar untuk menjawab keperluan ujian DNA tersebut, di sini hari ini.
Pada 29 April lepas sebuah akhbar melaporkan kenyataan pakar sejarah Tan Sri Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim yang berpendapat ujian DNA perlu dilakukan bagi membuktikan kewujudan Hang Tuah.
Mohd Jamil berkata antara sumber dari luar negara yang membuktikan kewujudan Hang Tuah ialah melalui dokumen Ming Shi (Sejarah Dinasti Ming) iaitu hasil catatan Xin Fei, Liang Liji dan Kong Yan Zhi dari China.
Katanya kisah Hang Tuah ini juga terdapat dalam catatan peribadi Alfonso De Albuquerque iaitu seorang panglima Portugis yang menakluk Melaka pada 1511 selain penemuan terbaru dari Buku Catatan Okinawa oleh Prof Emeritus Dr Hashim Musa serta Dr Rohaidah Kamaruddin terbitan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2015.
“Dalam dokumen Rekidai Hoan iaitu rekod rasmi Kerajaan Ryuku yang kini dikenali sebagai Okinawa, Jepun menyebut sekurang-kurangnya 19 pucuk surat daripada kerajaan Ryuku kepada kerajaan Melaka.
“Turut disebut dalam dokumen itu 11 surat daripada kerajaan Melaka kepada kerajaan Ryukyu pada abad ke-15 yang ada menyebut tentang Laksamana Hang Tuah,” katanya.
Katanya melalui perbincangan dan fakta yang dibincangkan dalam pelbagai seminar dan forum yang telah diadakan termasuklah seminar ‘Hang Tuah Wira Alam Melayu’ dan forum ‘Hang Tuah Memang Wujud’ turut membuktikan kesahihan kewujudannya.
– BERNAMA