Beliau berkata pembangunan di Sarawak masih di paras minimum sungguhpun diperintah BN lebih 50 tahun selepas pembentukan Malaysia, lapor Borneo Post.
“Saya baru pulang daripada berkempen di Saribas. Lima kampung dalam kawasan itu tidak mendapat bekalan air bersih. Mereka ambil air daripada sebatang sungai.
“Sungai itu ada buaya – rakyat terpaksa membahayakan diri setiap kali pergi ke situ,” katanya kepada pemberita di Bandong Walk.
Mengulas mengenai Lebuhraya Borneo, Azizah berkata: “Saya terdengar mengenai Lebuhraya Borneo semasa saya di sekolah menengah lagi. Hari ini, projek lebuhraya masih belum selesai.”
Media itu melaporkan Wan Azizah berharap PKR dapat mengekalkan tiga kerusi yang dimenangi pada pilihan raya negeri lalu, namun beliau tidak optimis angkara pemindahan undi daripada satu kawasan mengundi ke kawasan lain.
Mengulas hubungan PKR dan DAP, Wan Azizah berkata hubungan kedua parti di Semenanjung adalah baik, menurut laporan itu. Beliau berharap undi di kawasan-kawasan yang menjadi medan pertembungan antara mereka tidak pergi kepada BN.