
Merujuk Adenan dengan gelaran Tok Nan, Izzah menggesa beliau supaya tidak menuruti langkah bekas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Jadi Tok Nan yang mengaku lain dari Taib Mahmud dan lain dari Najib, buatlah cara lain dari mereka. Ajulah kita bersaing dengan sihat dan embak Sarawak tok ke mercu kejayaan yang sebenar,” tulis dalam satu surat terbuka kepada Ketua Menteri hari ini.
Izzah berhujah janji dan usaha Adenan selari dengan manifesto pembangkang, kerana PKR juga menolak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), pertahan autonomi dan pemeliharaan tanah adat.
“Hampir 200 kes tanah adat diperjuangkan oleh peguam-peguam KEADILAN yang juga calon pada PRN 11 ini. YB Baru Bian, YB See Chee How, saudari Jamilah Baharuddin, saudara Abun Sui, saudari Athina Sim dan ramai lagi,” katanya.
“Bayangkan jika kami tetap menambah kerusi dan mengurangkan majoriti calon-calon BN, walaupun dalam keadaan dilarang masuk akan menguntungkan bukan mengurangkan suara rakyat Sarawak dalam Dewan nanti.”
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu terbang ke Miri pagi Isnin tetapi dihalang Imigresen di Lapangan Terbang.
Seoerti pimpinan pembangkang yang disekat sebelum ini, surat yang menyatakan beliau dilarang masuk berserta tandatangan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Sarawak, Ronnie William Matakim diserahkan kepadanya.
Dalam surat terbukanya, Izzah menerima janji Adenan untuk memberi laluan masuk sekiranya surat meminta kebenaran ditulis dengan baik.
“Justeru saya telah menulis surat untuk membenarkan saya selaku Ahli Parlimen, Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya Parti KEADILAN dibenarkan masuk berkempen secara sah seperti yang tertakluk di dalam Akta Pilihan Raya.
“Jika tawaran janji Tok Nan benar, maka saya harus dibenarkan masuk tetapi ternyata usaha saya untuk bersama rakyat Sarawak telah dinafikan,” tulisnya.
Izzah berkata sekatan keatasnya bukti jelas pembangkang berjaya memberi tekanan di Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat sehingga memaksa Adenan dan BN membuat banyak perubahan dan janji, terutamanya tentang isu autonomi dan tanah adat rakyat Sarawak.