Pengerusi Barisan Nasional Sarawak itu berkata selain daripada kaum Penan, beliau juga mahukan ADUN daripada kaum Bisi, Kayan, Kenyah, Lun Bawang, Bisaya dan Kelabit.
Atas sebab itu beliau memohon Suruhanjaya Pilihan Raya supaya mempertimbangkan untuk mencipta lebih banyak kawasan DUN.
Susulan langkah persempadanan semula terbaru, Sarawak kini mempunyai 82 kerusi DUN, bertambah 11 daripada 71 kerusi dalam pilihan raya negeri 2011.
Kerusi baharu itu adalah Batu Kitang, Stakan, Serembu, Bukit Semuja, Gedong, Kabong, Tellian, Bukit Goram, Samalaju, Murum dan Mulu.
Kerusi Murum dan Mulu diwujudkan khas untuk kaum Kenyah dan Kelabit.
“Kita sudah tambah dua lagi kerusi, khas untuk Orang Ulu. Kita wujudkan Mulu untuk Kelabit dan sekiranya Gerawat Gala (calon BN) menang, seorang Kelabit akan berada dalam sidang DUN.
“Ini peluang kamu untuk menambahkan suara Kelabit dalam sidang DUN sepertimana orang Melayu, Melanau, Cina, Iban, Bidayuh dan Senako punyai ‘suara’ dalam sidang DUN.
“Kita sedang berusaha untuk mewujudkan kerusi untuk kaum Penan di masa hadapan,” katanya kepada 2,000 Orang Ulu pelbagai kaum dari kerusi DUN Telang Usan, Mulu dan Ba’kelalan di Hotel Pullman hari ini.
Orang Ulu terdiri daripada 20 kumpulan etnik dan merupakan 6% daripada penduduk Sarawak.
Hadir di acara ini adalah Gerawat; calon BN Telang Usan, Dennis Ngau dan calon Ba’kelalan, Willie Ngau.
