Sokongan penuh Bumiputera jamin kemenangan di Miri – Adenan

Sokongan penuh Bumiputera jamin kemenangan di Miri – Adenan

Semua pengundi Bumiputera - Melayu/Melanau, Iban and Bidayuh - yang merupakan minoriti di Pujut, Piasau dan Senadin diminta tidak memecahkan undi mereka dengan menyokong pembangkang.

adenan sarawak

MIRI :
Sokongan penuh masyarakat Bumiputera akan membawa kemenangan BN di ketiga-tiga kerusi DUN di sini iaitu Pujut, Piasau dan Senadin, kata Pengerusi BN Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

Beliau meminta semua pengundi Bumiputera – Melayu/Melanau, Iban and Bidayuh – yang merupakan minoriti di ketiga-tiga DUN ini agar tidak memecahkan undi mereka dengan menyokong pembangkang.

“Jangan pecahkan undi Bumiputera.

” Saya sudah buat perkiraan jika semua Bumiputera menyokong BN, kita akan menang di Piasau, Senadin dan Pujut.

“Undi Cina mungkin terpecah, tapi jika Bumiputera 100 peratus anda (BN) boleh menang. Inilah permintaan saya kepada (pengundi) Bumiputera,” katanya di hadapan lebih 1000 hadirin di majlis anjuran BN Piasau hari ini.

Senadin satu-satunya kerusi Miri yang dimenangi BN pada 2011 apabila calonnya, Lee Kim Shin daripada SUPP, menang dengan majoriti 58 undi.

Bekas Timbalan Ketua Menteri dan Presiden SUPP, Dr George Chan tewas di Piasau dalam pilihan raya yang sama, seraya mencetuskan kemenangan besar buat DAP dan pembangkang, yang akhirnya membawa kepada perpecahan SUPP.

Tahun ini Adenan dan kumpulannya berkeras mahu memenangi sekurang-kurangnya dua kerusi daripada DAP dengan matlamat untuk meletakkan SUPP sebagai parti berteraskan Cina yang utama di Sarawak.

Calon BN di Piasau, Sebastian Ting daripada SUPP menggunakan kepimpinan Adenan dalam kempennya dengan harapan dapat menewaskan Setiausaha DAP Sarawak, Allan Ling.

“Kali ini, kita dipimpin Ketua Menteri. Saya yakin dengan kepimpinan Adenan, rakyat Sarawak akan bersama kamu,” katanya di majlis yang sama.

Di Pujut, calon langsung BN, Hii King Chiong mencabar calon bebas, Fong Pau Teck yang akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2011. King Chiong turut berdepan saingan daripada calon DAP, Dr Ting Tiong Choon dan Persuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee.

Di Senadin, SUPP berdepan Dr Bob Baru Langub daripada DAP dan Philemon John Endau daripada PBDS Baru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.