Sekolah di Sarawak ubah pelajar bermasalah dengan kasih sayang

Sekolah di Sarawak ubah pelajar bermasalah dengan kasih sayang

FMT bertemu sekumpulan guru kaunseling di sebuah sekolah di Sarawak yang mengambil jalan 'kasih sayang' bagi menangani isu disiplin pelajar

sarawak_student_600

KUCHING:
Hukuman seringkali menjadi jalan penyelesaian ketika menangani pelajar bermasalah.

Namun, ia bukanlah jalan yang dipilih para pendidik di SMK Sg Tapang di sini. Mereka memilih untuk membina hubungan yang lebih rapat dengan pelajar-pelajar ini.

FMT bertemu dengan guru-guru yang berjaya mengubah sekolah ini yang dahulunya digelar ‘sekolah gangster’ yang tidak dapat diselamatkan lagi.

Ketua Guru Kaunseling Law Sie Khiang berkata, walaupun usaha membina hubungan dengan pelajar bermasalah sangat memerlukan kesabaran, hasilnya benar-benar memberikan kepuasan.

“Apabila anda mendekati dan cuba rapat dengan pelajar nakal, anda akan sedar bahawa mereka sebenarnya baik. Mereka tidaklah seteruk seperti apa yang mereka cuba tunjukkan.

“Mereka boleh menjadi seperti rakan dan berkongsi pengalaman dan rasa hati. Dari situ, saya memasuki ‘dunia’ mereka,” katanya.

Atas nekad sendiri, Law mendekati kumpulan pelajar ‘paling teruk’ SMK Sg Tapang dan memberi nasihat kepada mereka dengan harapan pergaduhan besar-besaran antara pelajar dapat dielakkan.

“Pergaduhan menjadi cara mereka menyelesaikan masalah. Bagi mereka ia dapat menyelesaikan pertikaian.

“Jadi kami gunakan ‘sistem amaran awal’ yang membolehkan pelajar yang mahu menyelesaikan apa-apa isu dengan pelajar lain unuk datang kepada guru kaunseling dan menyuarakan masalah mereka.

“Kami akan cuba menghalang pergaduhan itu dengan meminta kedua-dua pihak untuk duduk dan menyelesaikan pertikaian mereka,” katanya lagi.

Katanya, guru-guru kaunseling juga melawat rumah-rumah pelajar bermasalah ini untuk membantu ibubapa mengenalpasti kelebihan dan potensi anak-anak mereka.

Katanya lagi, cara itu banyak membantu mengurangkan bilangan kes-kes disiplin dan pergaduhan di sekolah.

“Saya sudah melihat banyak perubahan. Sebelum ini, keadaan sekolah ‘kucar-kacir’, pelajar tidak pernah ada di kelas.

“Hampir setiap masa ada pergaduhan, malah guru-guru sendiri takut untuk mendekati mereka,” katanya yang menyifatkan kaedah kaunseling yang efektif telah berjaya mengubah keadaan tersebut.

Menurut guru Matematik SMK Sg Tapang Jennifer Sian, sekolah itu sudah jauh berubah, dan langkah mengubah kaedah pengajaran kepada kaedah ‘International Baccalaureate'(IB) telah berjaya menjadikan pelajar lebih aktif di dalam kelas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.