PAS jemput PERKASA ke Muktamar Tahunannya

PAS jemput PERKASA ke Muktamar Tahunannya

Keputusan ini diambil berikutan PERKASA yang kian cenderung kepada PAS.

Ahmad-Fadhli-Shaari_pas_perkasa_600

PETALING JAYA:
Sebagai meningkatkan kerjasama dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), PAS menjemput badan bukan kerajaan itu ke Muktamar Tahunan kali Ke-62 parti awal Jun depan.

Menurut laporan Bernama, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari, menyatakan keputusan ini diambil berikutan PERKASA yang kian cenderung kepada PAS.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, PAS kini mengamalkan politik matang dan sejahtera selepas mengalami krisis dalam pakatan pembangkang (Pakatan Rakyat) tahun lepas.

“Kami kini membuka peluang kepada semua pihak untuk mengenali kita secara terbuka,” katanya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, sebelum ini berkata muktamar ke-62 bermula 2 hingga 4 Jun depan itu akan memberi tumpuan kepada persiapan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Muktamar itu bakal dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan dan pemerhati dan dijadual berlangsung di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa.

Mohd Amar berkata, muktamar tahunan bagi tiga sayap parti itu – Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan diadakan pada 31 Mei dan 1 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.