
Demikian kata Ketua Wanita MIC Mohana Muniandy selepas Mahkamah Persekutuan mengarahkan Khalid untuk menahan bekas suami M Indira Gandhi, Muhammad Ridhuan Abdullah kerana menghina mahkamah.
Dalam satu kenyataan kepada FMT, Mohana berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu menunjukkan tiada lagi alasan untuk menangguhkan tindakan tersebut.
“Wanita MIC menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan, sesungguhnya ia adalah satu keputusan yang adil dan menjadi duluan yang baik untuk kes-kes sepertinya.
“Keputusan ini seharusnya menjadi pengajaran dan amaran kepada mana-mana pihak yang cuba mencari jalan pintas atau kelemahan dalam sistem undang-undang sebagai jalan penyelesaian yang mudah bagi mengatasi masalah peribadi masing-masing.”
Mohana berkata mereka yang cuba menyalahgunakan kekangan agama untuk melakukan perkara mengikut cara mereka harus sedar terhadap kewujudan undang-undang yang lebih adil dan apa sahaja percubaan menentangnya akan hanya memakan diri sendiri.
Awal hari ini Mahkamah Persekutuan memerintahkan Ridhuan ditangkap kerana menghina mahkamah.
Ridhuan yang sebelum ini dikenali sebagai K Patmanathan enggan mengembalikan anak bongsu pasangan itu, Prasana Diksa yang diculik pada 2009 kepada bekas isterinya Indira.
Mahkamah Persekutuan juga memerintah Mahkamah Tinggi di Ipoh untuk memantau penangkapan itu.