
Hakim, Roslan Hamid membuat keputusan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Roslan dalam penghakimannya berkata, perkataan yang digunakan tertuduh tidak membuktikan kecenderungan untuk menghasut.
“UMNO bukanlah satu kaum, tetapi merupakan sebuah parti politik, dengan ini mahkamah memutuskan pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan kes prima facie dalam kes di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948,” katanya.
Hakim itu turut melepas dan membebaskan Rayer yang juga seorang peguam daripada pertuduhan pilihan yang dihadapinya di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, kerana pihak pendakwaan turut gagal membuktikan elemen menghasut yang dibuat tertuduh.
Pada 27 Ogos 2014, Rayer mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut dalam ceramahnya di Taman Permainan Kanak-kanak, Jalan Delima Island Glades, Jelutong, pada jam 10 malam 22 Mei 2014.
Dia didakwa menurut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, jika sabit kesalahan.
Rayer turut didakwa atas pertuduhan pilihan mengaibkan dan membangkitkan kemarahan ahli UMNO, dengan melafazkan kata-kata menghasut itu yang boleh memecahkan keamanan awam, di tempat dan pada masa serta tarikh sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit, manakala Rayer diwakili barisan peguam diketuai Gobind Singh Deo.
– BERNAMA