Papan iklan calon bukan Islam pertama parti PAS, Clement Bayang, yang dipacakkan di Kakus dikoyakkan, manakala sepanduk markas operasi PAS di Lambir dibakar pihak tertentu.
Setiausaha PAS Sarawak, Mukhtar Suhaili memberitahu FMT pihaknya terima maklumat berhubung pelaku disebalik insiden itu tetapi enggan menamakannya.
“Kita tak mahu menuduh sesiapa. Setakat ini suasana keseluruhannya terkawal dan saya rasa ini hanya kes terpencil,” katanya.
PAS telah mengarahkan pekerja parti, ahli dan penyokong supaya sentiasa berdisplin dan tidak menimbulkan provokasi sepanjang tempoh berkempen.
“PAS Sarawak juga menyeru agar semua pihak mengekalkan suasana damai sepanjang tempoh berkempen. Insiden di mana sepanduk PAS Sarawak dibakar di Lambir, papan iklan calon PAS di Kakus dikoyakkan dan lain-lain tidak sewajarnya berlaku,” kata Mukhtar.
Sementara itu, di Kuching, SUPP membuat laporan polis selepas dua iklan kempen di Batu Kawah didakwa dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Sebuah papan iklan dikoyak dan dibakar, sebuah lagi dibakar cat. Ini satu lagi contoh politik kebencian dan ketakutan yang dibawa ‘kem musuh’,” kata presiden Dr Sin Kui Hian dalam satu kenyataan.
Tiada kejadian serupa dilaporkan di kawasan-kawasan lain dalam pilihan raya yang dijangka akan berlangsung secara aman.
