Pembangkang gagal pantau kerajaan punca skandal 1MDB berlaku

Pembangkang gagal pantau kerajaan punca skandal 1MDB berlaku

Tiong Thai King berkata, lebih baik pengundi menyokong BN Sarawak, supaya kerajaan mempunyai lebih banyak kuasa untuk membangunkan negeri itu, memandangkan parti pembangkang tidak mampu menunaikan tanggungjawab mereka.

1mdb-swak
PETALING JAYA: Ketidakadilan dan ketidaktelusan dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak akan berlaku, jika parti pembangkang menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemantau kerajaan.

Ketika pelbagai pihak menuding jari ke arah kerajaan dan Perdana Menteri atas skandal 1MDB, calon langsung BN di kerusi Dudong, Datuk Tiong Thai King sebaliknya menyalahkan parti pembangkang kerana gagal memainkan peranan sebagai pemantau kerajaan.

“Jika tugas memantau kerajaan pun tidak dapat dilaksanakan, kenapa pengundi masih perlu sokong mereka,” soalnya ketika ditemubual China Press semalam.

Menurutnya, lebih baik pengundi menyokong BN Sarawak, supaya kerajaan mempunyai lebih banyak kuasa untuk membangunkan negeri itu, memandangkan parti pembangkang tidak mampu menunaikan tanggungjawab mereka.

Thai King bagaimanapun berpendapat, peranan memantau kerajaan tidak terhad kepada parti pembangkang sahaja, sebaliknya wakil rakyat yang benar-benar mahu berkhidmat untuk rakyat akan memantau tindak-tanduk kerajaan secara automatik.

Jelasnya, ketua menteri memainkan peranan paling penting dalam membangunkan sesebuah negeri, justeru pengundi Cina perlu terus memberi mandat kepada Tan Sri Adenan Satem untuk mentadbir Bumi Kenyalang, kerana beliau adalah seorang pemimpin yang baik.

Beliau berkata, Adenan yang baru memimpin Sarawak selama dua tahun, sentiasa berusaha menangani masalah dihadapi masyarakat Cina, termasuk mengiktiraf sumbangan orang Cina dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Dengan adanya pasukan yang kuat, katanya, Adenan boleh membangunkan Sarawak secara berkesan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.