Berdasarkan maklumat awal yang diterima pihak media, Najib dijangka tiba di Istana Terengganu kira-kira jam 2.45 petang ini, sebelum beliau berangkat ke Sarawak.
Namun, ada khabar angin yang mengatakan Najib akan menghadap Sultan Mizan pada jam 3 petang esok, bagi membincangkan kemelut membabitkan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman dengan pihak Istana.
Tambahan, Ahmad Razif juga dikatakan bakal diganti dengan calon pilihan Perdana Menteri.
Beberapa exco bagaimanapun menafikan spekulasi yang mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat dan ADUN Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafee antara calon yang bakal menggantikan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar Terengganu.
Mereka sebaliknya menyifatkan pelantikan Menteri Besar baru itu sekadar khabar angin yang tidak akan menjadi kenyataan.