Penasihat SUARAM, Kua Kia Soong berkata, tindakan NGO menuntut lebih banyak perundingan dan ketelusan dalam projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang menelan berbilion ringgit ini juga harus diberi kredit.
“Menurut NGO tersebut keutamaan dalam pelan itu diberikan kepada kenderaan persendirian sedangkan tujuan sistem pengangkutan awam bersepadu di bandar moden adalah untuk mengurangkan dan bukan menggalakkan penggunaan kenderaan persendirian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain kosnya yang dianggar mencecah RM40 bilion, kesan pelan penambakan, terowong dasar laut dan keadaan trafik, negeri itu juga digesa mengelak daripada membangun sistem monorel seperti mana yang terdapat di Kuala Lumpur.
Dalam hal ini, Kia Soong mempersoal perancang bandar, pelindung warisan dan juga masyarakat Cina Malaysia yang membenarkan pembinaan monorel yang menghalang pandangan Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuil Chen, kuil Guan Yin dan pintu masuk Petaling Street.
“Ini adalah sebahagian daripada tapak warisan tertua Kuala Lumpur yang sepatutnya dilindungi daripada dikaburi infrastruktur monorel yang buruk. Kuil Guan Yin telah dibina pada tahun 1888, Kuil Chen pada tahun 1896 dan Dewan Perhimpunan Cina Selangor pada tahun 1934.
“Banyak lagi tapak warisan lain di sepanjang laluan monorel yang juga terlindung daripada pandangan,” rungutnya.
Justeru, Kia Soong menganggap Pulau Pinang masih mempunyai kelebihan kerana mengelakkan kesilapan yang dibuat oleh perancang bandar lain.