Kuala Lumpur, ‘Bandar Penuh Kontras dan Variasi’

Kuala Lumpur, ‘Bandar Penuh Kontras dan Variasi’

Kuala Lumpur memerlukan satu identiti tersendiri yang diterima semua warganya dan nilai identiti ini perlulah mampu mengundang sikap ingin tahu para pengembara antarabangsa.

mohd-amin-nordin-adbul-aziz_kl_600

PETALING JAYA:
Kuala Lumpur dijenamakan sebagai ‘Bandar Penuh Kontras dan Variasi’ sebagai mencerminkan kelebihan tersendiri yang dimiliki Kuala Lumpur.

Datuk Bandar Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata demikian dengan merujuk kepada warisan di kota ini yang kontras, masyarakat yang pelbagai budaya dan kepelbagaian agama serta pelbagai daya tarikan.

“Kuala Lumpur memerlukan satu identiti tersendiri yang diterima semua warganya dan nilai identiti ini perlulah mampu mengundang sikap ingin tahu para pengembara antarabangsa.

“Penjenamaan KL ini juga akan memberi fokus terhadap usaha membina rasa bangga. Ia akan menyemarakkan dan meningkatkan lagi rasa bangga kita dan membawa jenama KL ke pentas dunia,” katanya pada sidang berita selepas majlis pelancaran jenama itu semalam, lapor Bernama.

Inisiatif ini julung kalinya diambil untuk memberi jenama baharu kepada Kuala Lumpur sebagai destinasi yang menyemarakkan lagi bidang pengembaraan dan pelancongan di bandar raya ini.

Di samping perkataan kontras dan variasi yang digunakan untuk menyerlahkan identiti dan penampilan jenama itu, Mhd Amin berkata tiga unsur iaitu menarik, mengejutkan dan memikat akan digabungkan dengan jenama itu bagi menjelaskan secara ringkas dan tepat tentang keunikan Kuala Lumpur.

Tiga unsur itu membawa maksud pengalaman menarik dalam serba-serbi, mengejutkan daripada pelbagai segi apabila ciri-ciri bandar raya ini diterokai dan memikat hati pelawat untuk menikmati pelbagai daya tarikan yang dimilikinya.

Menurutnya identiti jenama Kuala Lumpur akan melibatkan proses jangka panjang yang bermula hari ini hingga ke 2020 dengan harapan ia akan memainkan peranannya seperti jenama bandar raya lain termasuk ‘I love New York’ dan ‘I Amsterdam’.
Bagi tujuan itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperuntuk kira-kira RM3 juta untuk pengiklanan termasuk membina mercu tanda jenama itu di sekitar bandar raya ini bagi mendidik dan memberi maklumat mengenainya kepada warga ibu kota.

Mhd Amin berkata mercu tanda berkenaan akan didirikan di Dataran Merdeka, Bulatan Tun Sambanthan dan di pintu masuk menghala ke Lebuhraya Sungai Besi, yang kesemuanya akan disiapkan menjelang akhir Ogos ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.