MetMalaysia perjelas kekeliruan Monsun Barat Daya, El Nino

MetMalaysia perjelas kekeliruan Monsun Barat Daya, El Nino

Jabatan Meteorologi turut menggesa agar orang ramai supaya bersedia menghadapi musim kering disebabkan angin Monsun Barat Daya itu.

met-malaysia_600

PETALING JAYA:
Jabatan Meteorologi menjelaskan cuaca panas hingga September ini adalah disebabkan angin Monsun Barat Daya bukan El Nino.

Sumber Jabatan Meteorologi itu berkata, fenomena cuaca panas berbeza dengan El Nino yang dijangka berlaku sehingga Jun ini.

“Angin Monsun Barat Daya yang biasanya membawa cuaca panas hingga ke September. Tapi yang El Nino sampai Jun sahaja. Orang ramai perlu dididik bahawa ia adalah musim kering di negara kita,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Monsun Barat Daya biasanya bermula pada akhir bulan Mei atau awal bulan Jun dan tamat pada akhir September dan angin pada amnya dari arah barat daya dengan kelajuan yang lemah, iaitu di bawah 15 knot.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Malay Mail Online yang menyatakan kerajaan telah memberi amaran bahawa musim kemarau dan panas boleh menjangkau sehingga September dan akan menyebabkan masalah kekurangan bekalan air, meningkatkan kebakaran hutan serta jerebu teruk.

Dalam pada itu, sumber daripada Jabatan Meteorologi turut menggesa agar orang ramai supaya bersedia menghadapi musim kering disebabkan angin Monsun Barat Daya itu.

“Sebab bila kering, tiada hujan akan menyebabkan masalah lain iaitu kekurangan air. Kemungkinan juga ada jerebu tempatan dan bukan tempatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.