UMNO akan selesaikan isu Ahmad Razif

UMNO akan selesaikan isu Ahmad Razif

Ia akan ditentukan oleh pucuk pimpinan UMNO serta langkah-langkah seterusnya yang perlu diambil.

razif,umno

PETALING JAYA:
Krisis politik yang dihadapi oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman kali ini lebih sukar berbanding krisis yang dialami oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said.

Utusan Malaysia yang memetik sumber memberitahu isu berkenaan semakin rumit kerana ia dikatakan mempunyai kaitan dengan pihak Istana Terengganu.

Malah, sumber berkenaan turut menyatakan pada masa ini isu berkenaan akan ditentukan oleh pucuk pimpinan UMNO untuk menentukan langkah-langkah seterusnya.

“Berdasarkan perkembangan terkini, pucuk pimpinan parti mempunyai pilihan sama ada berunding dengan pihak Istana atau menggantikan Ahmad Razif,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia.

Isu mengenai penarikan gelaran dan kedudukan Ahmad Razif mula tersebar di media sosial sejak semalam apabila beliau yang menghadiri dua majlis di Kampung Sura Jetty, Dungun dan pelancaran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Bandar Al Muktafi Billah Shah, tidak disebut gelaran oleh pengerusi majlis berkenaan.

Selain itu, ketika menghadiri Persidangan Waqaf Senusantara 2016 yang disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Primula Beach Resort, nama Ahmad Razif hanya disebut “Yang Amat Berhormat Menteri Besar”.

Kedudukan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar menjadi persoalan apabila pihak istana dikatakan menarik balik semua gelaran kebesaran yang dianugerahkan kepada beliau.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada pengesahan daripada pihak Istana berhubung penarikan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.