Berita Harian hari ini melaporkan, beliau hanya mengucapkan ‘terima kasih’ dan menaiki kenderaan rasminya apabila diserbu wartawan sebelum meninggalkan Majlis Perasmian Persidangan Wakaf Senusantara 2016, di Hotel Primula, di sini, sebentar tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Osman Muda turut enggan mengulas apabila ditanya mengenai viral pelucutan gelaran itu.
Sementara itu, BH difahamkan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin belum mengeluarkan titah rasmi berhubung isu pelucutan itu.
Difahamkan juga titah mengenai pelucutan anugerah itu hanya disuarakan secara lisan.
Ahmad Razif dianugerahkan pingat Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena sambutan Ulang Tahun ke-53 Hari Keputeraan baginda pada 24 April 2015.
Pagi ini, pada majlis Persidangan Wakaf Senusantara 2016, gelaran Datuk Seri tidak disebut oleh pengacara majlis, sebaliknya menyebut Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Terengganu.
Sultan Mizan berangkat dan merasmikan Persidangan Wakaf Senusantara 2016 itu.
Pada ucapan alu-aluan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga hanya menyebut Menteri Besar dan bukannya Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman seperti ucapan di majlis lain sebelum ini.
