Berbalah kerusi: PKR, DAP beri isyarat salah

Berbalah kerusi: PKR, DAP beri isyarat salah

Penganalisis politik berkata ketua-ketua pembangkang Sarawak bersikap swadiri demi kepentingan sempit

jeniri-pkr-dap

PETALING JAYA:
Perbalahan dan saling ugut-mengugut sesama rakan perikatan Pakatan Harapan yang bakal bertanding dalam pilihan raya Sarawak tidak lama lagi hanya menyampaikan mesej yang salah kepada para pengundi.

Mengulas kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen bahawa DAP akan memungkiri aturan kerusi antara mereka sekiranya PKR mengingkari keputusan kepimpinan kebangsaan mereka, penganalisis politik Dr Jeniri Amir membidas perbalahan swadiri (self-serving) antara ketua-ketua DAP dan PKR negeri.

“Mereka mahu rakyat percayakan mereka sedangkan mereka tidak mampu bertolak-ansur,” katanya kepada FMT, dan menambah percakaran itu pasti digunakan BN sebagai peluru politik dan pertelingkahan mereka telah membantu BN.

Profesor madya Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu berpandangan, Pakatan Harapan sepatutnya sudah menjalankan tinjauan yang telah menentukan parti mana mendapat sokongan lebih besar dalam kalangan rakyat di kerusi-kerusi yang menjadi pertikaian, dan perlawanan pelbagai penjuru kali ini akan menentukan siapa jaguh antara mereka.

Barangkali, pesan Jeniri, Pakatan Harapan di masa hadapan perlu berkawan dengan parti tempatan kerana BN Sarawak menggunakan pergaduhan antara mereka sebagai asbab untuk menentang mana-mana parti Malaysia Barat, samada BN atau Pakatan Harapan.

Bagi saintis politik Unimas, Dr Andrew Aeria pula, perlawanan pelbagai penjuru sesama parti-parti Pembangkang bertitik-tolak daripada kegagalan komunikasi dan kepimpinan yang lemah di peringkat negeri.

Katanya, sekiranya ahli-ahli politik mahu bertanding dibawah panji kebangsaan, maka ia harus ditunjukkan melalui perilaku masing-masing. Beliau menambah pembangkang di Sarawak tampaknya bertindak mengikut kepentingan sempit masing-masing berbanding pandangan tirus suatu perikatan.

Pada pilihan raya masa hadapan, Aeria menyarankan parti-parti Pakatan Harapan supaya bersatu dibawah satu panji sepertimana BN.

“Hakikatnya mereka masih berunding kerusi dan itu menunjukkan kurangnya persiapan di pihak mereka, semua pengagihan kerusi sepatutnya sudah dimuktamadkan lama sebelum ini,” katanya kepada FMT.

Beliau turut berkata parti-parti komponen tidak sepatutnya membuat ancaman yang kebudak-budakan seperti bertanding di semua kerusi, termasuk yang telah dipersetujui semata-mata berbalah dua atau tiga kerusi bertindih.

Ketika ditanya samada Pakatan Harapan perlu mencari rakan dalam kalangan parti tempatan di Sarawak, Aeria tidak bersetuju, kerana Malaysia memerlukan sistem dua parti yang berdasarkan kepada dasar dan ideologi ekonomi.

“Parti-parti masa hadapan sepatutnya bukan berasaskan kaum, bukan berasaskan agama, dan bukan berasaskan kawasan.”

Terdahulu, DAP dilaporkan akan memungkiri persetujuan kerusi sekiranya PKR berbuat demikian, dan Chieng Jen menyeru PKR supaya mematuhi apa yang telah dipersetujui.

Baru-baru ini, Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak Baru Bian menyuarakan ketidakpuasanhatinya terhadap kepimpinan induk DAP dan PKR, khususnya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang telah menyimpang daripada persetujuan pengagihan kerusi antara PKR Sarawak dan DAP Sarawak.

Baru berkata pihaknya akan veto keputusan rundingan kerusi yang telah diputuskan kepimpinan kebangsaan dan perkembangan ini dijangka membawa kepada perlawanan pelbagai penjuru antara BN, DAP, PKR dan calon-calon lain di sekurang-kurangnya lima kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.