Beliau merujuk kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang dilaporkan sebagai berkata, UMNO boleh masuk ke Sabah, kerana BN Sabah “amat lemah”.
Bung Moktar menjelaskan, Umno hanya masuk ke Sabah pada 1994, kerana parti-parti komponen BN di Sabah bertindak mensabotaj parti itu, dengan meninggalkan BN menjelang pilihan raya.
“Walau bagaimanapun, saya percaya setiap kejadian itu ada hikmahnya. Hari ini, BN Sabah adalah antara yang terkuat di negara ini,” katanya ketika dihubungi FMT.
Tegasnya, UMNO tidak akan membuli parti komponen BN yang lain di Sarawak, jadi Adenan dan parti komponen BN di negeri itu tidak perlu bimbang, kerana UMNO telah memutuskan tidak akan menubuhkan cawangan di Bumi Kenyalang.
“Sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, kita sudah putuskan UMNO tidak akan masuk (tubuh cawangan) di Sarawak untuk mengembangkan sayapnya.
“Pada saya, kita ada rakan kita di Sarawak yang boleh kita percayai, lantaran itu, UMNO tidak perlulah ke Sarawak. UMNO selaku parti tulang belakang BN, mengamalkan konsep lebih pragmatik dan jauh sekali nak membuli (parti) komponen yang lain.
“Jadi, Adenan tidak perlu letak jawatan, sebab UMNO tidak berhasrat untuk masuk ke Sarawak,” katanya.
Adenan dilaporkan sebagai berkata, beliau akan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak, jika UMNO menubuhkan cawangan di negeri itu.
“Mereka boleh datang dan bantu berkempen ketika pilihan raya, tetapi mereka tidak akan menubuhkan cawangan-cawangan di Sarawak, kerana BN sudah sangat kuat di Sarawak,” kata Adenan yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
