
Demikian kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga menekankan permintaan Adenan yang hanya mahukan satu penggal sahaja lagi untuk menjadi ketua menteri bagi memastikan pembangunan di negeri itu.
“Inilah ciri-ciri pemimpin yang harus disokong penuh dan didukung bersama oleh rakyat Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Masjid di Balingian, Sarawak, lapor Bernama.
Balingian, sebuah pekan kecil di tebing Sungai Balingian di wilayah tengah Sarawak, ialah antara kawasan pembangunan di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score),
Keprihatinan Adenan terhadap pembangunan di Sarawak amat jelas kerana setiap kali Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan lawatan ke Sarawak, Adenan akan menyentuh mengenai keperluan pembangunan yang berterusan di negeri ini, tambah beliau.
Oleh itu, Ahmad Zahid menyarankan rakyat Sarawak supaya memastikan Adenan mendapat mandat besar pada pilihan raya negeri 7 Mei ini untuk terus mentadbir negeri ini supaya usaha pembangunan yang dirancangnya dapat diteruskan.
Timbalan Perdana Menteri juga berkata projek pembinaan Sekolah Menengah Balingian, yang dijanjikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Balingian pada 2014, akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Tanah bagi pembinaan sekolah itu sudah ada dan pelannya juga telah dibuat,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan BN juga akan berusaha menyelesaikan masalah bekalan air yang sering terganggu di kawasan Kuala Balingian, selain isu jalan Balingian ke Sungai Anak yang rosak walaupun baru lebih setahun siap dan digunakan.