Perbuatan Tun M langsung tak jejaskan UMNO – Ahmad Fauzi

Perbuatan Tun M langsung tak jejaskan UMNO – Ahmad Fauzi

Ia tidak mengurangkan sokongan terhadap BN meskipun Mahathir bersekongkol dengan pembangkang untuk jatuhkan Perdana Menteri.

mahathir

PETALING JAYA:
Kekuatan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan terjejas dengan sebarang angkara yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata, beliau tidak nampak sokongan kepada parti orang Melayu itu menurun meskipun Dr Mahathir berkempen bersama pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

“Mahathir kononnya menjadi penasihat kepada Gerakan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) tetapi berapa ramai yang benar-benar berada dalam gerakan tersebut?

“Kalau tak silap saya, ada lebih kurang 15,000 cawangan UMNO di seluruh Malaysia dan mungkin ada yang akan berbuat sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan parti kerana terpengaruh dengan Mahathir.

“Tapi itu tidak boleh dijadikan cermin kepada sokongan terhadap Mahathir kerana masih ada berbelas-belas ribu lagi yang masih yakin dengan kepimpinan sekarang,” katanya dalam satu wawancara dengan sebuah laman portal.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan ada sedikit penurunan dari segi kekuatan dalam parti ekoran tindakan Dr Mahathir kerana pengaruhnya yang masih ada.

“Dia orang lama dalam parti dan selain menjadi Perdana Menteri, beliau juga pernah menjadi menteri dalam beberapa portfolio.

“Tetapi harus diingat bahawa sejak dia keluar daripada UMNO dan bersekongkol dengan pembangkang, bukan semua ahli UMNO boleh terima apa yang dibuatnya,” ujarnya.

Ahmad Fauzi berkata, ahli-ahli UMNO dan rakyat boleh berfikir secara matang mengenai kewajaran bekas Perdana Menteri itu bersekongkol dengan musuh-musuhnya sebelum ini hingga sanggup menggadai maruahnya sendiri.

Tambahnya, beliau tidak menafikan terdapat kelemahan dalam UMNO tetapi kelemahan itu juga ada dalam mana-mana parti politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.