Kementerian Pendidikan perlu wujud SOP tangani histeria

Kementerian Pendidikan perlu wujud SOP tangani histeria

Punca histeria dilihat masih tidak berkesudahan dan merebak mudah ialah cara bertindak yang tidak betul disebabkan kurangnya pengetahuan dalam bidang ini.

KPM

PETALING JAYA :
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mewujudkan Prosedur Standard Operasi (SOP) bagi menghadapi kes histeria di sekolah-sekolah.

Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Perlis (UMP) Dr Mahyuddin Ismail berkata, selain itu KPM juga perlu mewujudkan pasukan bertindak yang terlatih di setiap sekolah bagi menangani gejala histeria.

“Antara punca kes tersebut dilihat masih tidak berkesudahan dan mudah merebak ialah cara bertindak yang tidak betul disebabkan kurangnya pengetahuan dalam bidang ini,” katanya kepada Free Malaysia Today hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden melibatkan lebih 50 pelajar di empat sekolah di Kota Bharu, Kelantan yang diserang histeria sejak minggu lepas.

Kejadian itu berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2, SMK Pengkalan Chepa 1, SMK Kemumin dan SMK Kubang Kerian 3.

Sementara itu, mengulas Kit Anti-Histeria yang dicipta pihaknya pada tahun lalu bagi membantu pelajar terjejas, Mahyuddin menyatakan ‘kit’ itu memang bertujuan membantu mana-mana institusi berdepan masalah histeria.

Bagaimanapun, untuk menggunakannya dan berhadapan dengan individu yang menghadapi serangan histeria, mereka perlukan latihan.

“Sama seperti latihan kebakaran. Kalau tak pernah dilatih, akan jadi mudah panik dan kelam-kabut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.