Parti itu turut akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram, susulan peletakan jawatan Larry Sng sebagai Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) dan tidak akan bertanding di kerusi itu, semalam.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, Larry Asap yang sepatutnya bertanding di DUN Baleh, kini akan bertanding di kerusi Bukit Goram.
“Malam semalam, Larry Sng telah meletak jawatan. Kami telah berbincang dan bersetuju (DAP) akan bertanding di kerusi tersebut.
“Bagi kerusi Baleh, kami akan membuat keputusan pada Sabtu ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP, hari ini.
Senarai calon untuk PRN Sarawak kali ini merangkumi 17 muka baru dan enam calon wanita, selain ia adalah kali pertama DAP meletakkan lebih ramai calon Dayak berbanding kaum Cina.
Mengenai keyakinan mereka untuk memenangi kerusi-kerusi tersebut, Chieng Jen berkata, DAP hanya akan bertanding di kerusi yang diyakini boleh menang.
Bagaimanapun, beliau mengakui DAP mungkin berdepan kesukaran di kerusi dalam kawasan bandar, disebabkan populariti Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.
“Semenjak pertukaran ketua menteri, pendapat di akar umbi berubah, memandangkan kawasan bandar merupakan kawasan (bekas ketua menteri) Tun Taib Mahmud.
“Namun, kami masih mempertimbangkan pelan kempen kami, kerana kami percaya rakyat boleh melihat sendiri Adenan adalah sebahagian daripada Barisan Nasional dan beliau tetap akan melaksanakan polisi yang ditetapkan parti mereka,” katanya.
Antara 29 nama yang diumumkan hari ini adalah Mordi Bimol di DUN Tasik Biru, Wong King Wei di DUN Padungan, Violet Yong di DUN Pending dan Christina Chiew di DUN Batu Kawah.
Kerusi Stakan akan diwakili Abdul Aziz Isa Marindo, Sanjan Daik (DUN Mambong), Edward Luwak (DUN Bukit Semuja), Andrew Nyabe (DUN Kedup) dan Leon Jimat (DUN Simanggang).
Chieng Jen akan turun bertanding di kerusi Kota Sentosa, Yong Siew Wei di DUN Repok, Ting Tze Fui (DUN Meradong), Rinda Juliza Alexander (DUN Pakan), Richard Lias (DUN Ngemah) dan Irene Mary Chang Oi Ling (DUN Bukit Assek).
Tambahnya lagi, kerusi Dudong akan ditandingi Yap Hoi Liong, Chiew Sung Ngie di kerusi Bawang Assan, David Wong di kerusi Pelawan, Frankie Bendindang di kerusi Pelagus dan Paren Nyawi di kerusi Katibas.
Kerusi-kerusi lain yang akan dicabar DAP ialah Larry Asap di Bukit Goram, kerusi Murum oleh Kenneth Adan Silek, Tanjong Batu oleh Chiew Chiu Sing, Kemena oleh Leighton Manjah, Samalaju oleh Baba Emperan, Piasau oleh Alan Ling Sie Kiong, Pujut oleh Dr Ting Tiong Choon, Senadin oleh Baru Langub dan Mulu oleh Paul Raja.
