Bersihkan semak di sekolah, elak insiden dipatuk ular- Rosmah

Bersihkan semak di sekolah, elak insiden dipatuk ular- Rosmah

Guru-guru harus memantau pergerakan murid-murid sekiranya mengadakan gotong-royong lebih-lebih lagi di musim panas ini.

rosmah,sekolah

PUTRAJAYA:
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menggesa semak-semak di sekitar sekolah segera dibersihkan supaya kes melibatkan pelajar dipatuk ular tidak berulang.

“Kawasan sekolah tidak sepatutnya ada banyak tempat semak. Ini bagi menghindari ular atau binatang merbahaya duduk di situ dan menyerang murid-murid yang berada atau bermain di sekitar kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita di Majlis Pra Pelancaran Persidangan Antarabangsa Permata 2016, di Kompleks Seri Perdana, hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga meminta guru-guru sentiasa memantau pergerakan murid-murid sekiranya mengadakan gotong-royong lebih-lebih lagi di musim panas yang boleh mengundang haiwan merbahaya itu mencari tempat perlindungan di kawasan seperti itu.

“Jika budak-budak sendiri yang membersihkan kawasan itu, ia harus dipandu bersama guru-guru yang ada. Jangan biarkan kanak-kanak bersendirian di kawasan seperti itu, ia boleh mengundang bahaya,” ujarnya yang juga Penaung Permata.

Sebelum ini, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Datuk Hashim 1, di Pengkalan Chepa meninggal dunia akibat dipatuk ular.

Nuri Nadirah Ruslan, 7, menghembuskan nafas terakhirnya, ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa.

Terbaru, seorang lagi pelajar Sekolah Kebangsaan Chembong juga dipatuk ular, ketika beliau berlari mengelilingi padang dalam sesi memanaskan badan untuk kelas Pendidikan Jasmani.

Murid itu bagaimanapun dalam keadaan stabil dan kini ditempatkan di zon merah Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan rakyat mengutamakan kesihatan dalam menghadapi cuaca panas yang kian teruk pada masa ini.

“Jangan keluar, main di luar banyak sangat, elak bersiar-siar terlalu kerap, khususnya kanak-kanak.

“Banyakkan minum air dan kalau boleh duduk dalam rumah atau pejabat bagi mengelak diserang strok haba,” ujarnya lagi.

Fenomena El Nino dilapor menyebabkan pengurangan jumlah hujan antara 20 peratus hingga 60 peratus dan kenaikan suhu sekitar 0.5 hingga 2.0 darjah Celsius berbanding hari biasa.

Suhu maksimum di negara ini ketika cuaca panas luar biasa ialah antara 28.6 dan 35 darjah Celsius, manakala semasa hari panas adalah antara 35 dan 37 darjah Celsius.

Malah, cuaca panas yang dijangka berlarutan sehingga Jun ini telah menyebabkan beberapa negeri seperti Kelantan mengadakan solat Istisqa’ (memohon hujan) selepas solat Zuhur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.