Sindiket kad kredit boleh jatuhkan ekonomi Malaysia

Sindiket kad kredit boleh jatuhkan ekonomi Malaysia

Polis di bahagian Komersial diminta berkerjasama dengan pihak bank dalam mencegah dan menumpaskan sindiket kad kredit palsu itu

moehamad-izat-emir_visa-credit-card_600

PETALING JAYA:
Persatuan Perdagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap sindiket kad kredit.

Presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir berkata sindiket ini sangat merbahaya kepada peniaga di Malaysia khususnya Bumiputera.

“Orang yang melakukan kesalahan ini diketegorikan sebagai perosak ekonomi kerana perbuatan ini boleh menyebabkan banyak kerugian dalam perniagaan.

“Golongan ini harus dikenakan tindakan setimpal kerana boleh merugikan negara. Kesalahan menipu adalah satu kesalahan besar, lagi-lagi mereka ini bukan dari negara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dibuat hari ini.

Izat berkata demikian berhubung kejayaan polis menumpaskan sindiket memproses kad kredit palsu terbesar di negara ini selepas menahan 19 individu dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang dan Ipoh, Perak pada Sabtu lalu hingga semalam.

Mengulas lanjut, Izat turut berbangga dengan kejayaan polis menumpaskan sindiket kad kredit itu.

Sehubungan itu, beliau memohon agar polis di bahagian Komersial harus berkerjasama dengan pihak bank untuk mencegah dan menumpaskan sindiket kad kredit palsu itu.

“Perlakuan sindiket ini boleh menyebabkan para perniaga mengalami kerugian transaksi dalam urusan jual beli oleh pemalsuan yang berlaku.

“Mereka duduk di negara kita dan melakukan jenayah wang, saya mahu PDRM meneliti semula kerana ada pihak yang menyalurkan kad kredit palsu dan memalsukan data dari sindiket antarabangsa,” katanya.

Selain itu, Izat juga menasihatkan peniaga harus berhati-hati dalam urusan jual beli menggunakan kad kredit.

“Peniaga juga tidak boleh memandang remeh dalam hal ini kerana ia akan memberikan keburukan yang besar,” katanya.

Sebelum ini juga polis telah berjaya merampas 2,371 keping kad kredit palsu dan wang tunai berjumlah RM163,234 hasil kegiatan itu.

Jumlah keseluruhan rampasan bernilai lebih RM1 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.