‘Cadangan Chong bodoh dan tidak rasional’ – Wan Junaidi

‘Cadangan Chong bodoh dan tidak rasional’ – Wan Junaidi

Persoalan sama ada mereka berasal dari Sarawak tidak perlu ditimbulkan, memandangkan mereka tinggal dan mendaftar di negeri itu.

wan-junaidi,chong

KUCHING:
Cadangan Pengerusi DAP Chong Chieng Jien berhubung pengundi tentera dari Semenanjung tidak dibenarkan mengundi dalam PRN kali ini disifatkan sebagai cadangan yang tidak rasional dan bodoh.

Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata demikian mengulas desakan Chong semalam agar kerajaan negeri tidak membenarkan pengundi tentera yang berasal dari Semenanjung Malaysia mengundi pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11), jika benar mereka memperjuangkan autonomi negeri.

Katanya lagi, persoalan sama ada mereka berasal dari Sarawak tidak perlu ditimbulkan, memandangkan mereka tinggal dan mendaftar di negeri itu.

“Ini soalan bodohlah. Anda mahu nafikan hak mereka yang mendaftar di sini untuk mengundi? Bagaimana dengan orang Sarawak yang mendaftar di Semenanjung?

“Orang yang tiada wakil, mesti diwakili,” katanya kepada FMT, ketika ditemui selepas satu acara di ibu pejabat PBB pagi tadi.

Dalam sidang media semalam, Chong berkata perjuangan autonomi patut bermula daripada perkara paling asas, iaitu proses memilih kerajaan negeri dan rakyat bukan warga Sarawak tidak sepatutnya dibenarkan mempengaruhinya.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu menceritakan pengalaman semasa belajar di England, apabila ditawarkan untuk mengundi.

“Jika anda tiba di England sebelum Oktober, anda akan diberikan peluang untuk mengundi dalam pilihanraya kerajaan tempatan pada tahun kemudiannya. Pendatang asing pun boleh mengundi.

“Chong ini belajar undang-undang di mana? Mana demokrasi? Inikah demokrasi yang ingin dibawa oleh DAP?

“Ini cadangan tidak berasas oleh orang yang terdesak dan fikir semua orang tak betul,” katanya lagi.

Menurut SPR, terdapat sejumlah 25,022 pemilih tidak hadir (tentera dan polis serta pasangan) dan 106 pemilih tidak hadir (luar negara).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.