Tun M diminta pulang ke pangkal jalan

Tun M diminta pulang ke pangkal jalan

Pengakuan Kerajaan Arab Saudi melalui Menteri Luarnya telah menjawab segala fitnah dilemparkan terhadap Najib.

noh,mahathir

PETALING JAYA:
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar menasihatkan Tun Dr Mahathir Mohamad ‘pulang ke pangkal jalan’.

Ia susulan fitnah yang dilemparkan bekas Perdana Menteri itu ke atas Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal sumbangan RM2.6 bilion.

Kata Noh, pengakuan Kerajaan Arab Saudi melalui Menteri Luarnya, Adel Al-Jubeir telah menjawab segala fitnah yang dilontar terhadap Najib.

“Saya minta Mahathir dan ahli UMNO yang keliru pulanglah ke pangkal jalan. Pengakuan Menteri Luar Arab Saudi baru-baru ini, membuktikan Perdana Menteri difitnah dengan dahsyat,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

Bagaimanapun, Noh yang sudah mengenali bekas Perdana Menteri memerintah negara selama 22 tahun itu mengakui, sukar untuk Dr Mahathir memohon maaf.

“Mengenali Tun (Mahathir), saya tak rasa dia akan minta maaf. Cuma saya minta, pulanglah ke pangkal jalan,” ujarnya ringkas.

Beliau berkata, kebenaran tersebut juga perlu diterima rakyat dengan hati terbuka dan menyeru semua pihak supaya bersama Perdana Menteri memajukan negara.

“Tak perlu diungkit lagi. Dah jelas tak ada unsur rasuah, kerana ia diperakui wang diberi berbentuk derma dan sumbangan.

“Pemimpin dan rakyat perlu terus bersatu memperkukuhkan parti dan jangan terpengaruh dengan usaha pihak yang sentiasa berhasrat menjatuhkan UMNO,” katanya.

Khamis lalu, Menteri Luar Arab Saudi, Adel yang dipetik Bernama mengakui, sumbangan dana kepada Najib memang datang dari negara itu.

“Kami sedar tentang derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dan kami juga sedar bahawa Peguam Negara Malaysia telah menjalankan siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku.

“Justeru, setahu kami, isu itu ditutup,” katanya kepada wartawan Malaysia di Istanbul, minggu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.