“Tahun lalu saya ajak beliau berdebat, tapi beliau minta saya letak jawatan dalam PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara). Speaker Dewan Rakyat pun kata perlu letak jawatan kalau nak bahas.
“Jadi, sekarang ini laporan sudah siap. Malam ini (semalam), saya mencabar Arul dalam satu temubual atau perbahasan secara siaran langsung untuk menjawab segala soalan yang ada terhadap 1MDB,” katanya ketika berucap di hadapan hampir 1,000 hadirin pada Forum Laporan PAC 1MDB ‘Najib Bersubahat atau Tidak Bersalah?’, malam tadi.
Tony berkata, cabaran itu dibuat, susulan laporan PAC berhubung siasatan ke atas 1MDB yang dibentangkan di Parlimen pada 7 April lalu.
Dalam pada itu, Tony yang juga ahli PAC mendakwa, nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak dibenarkan dibangkitkan dan dikaitkan dengan isu 1MDB dalam mesyuarat PAC.
“(Wakil) pembangkang lima orang, nak lawan majoriti sembilan orang dari BN bukan senang. Nak buat kesimpulan dalam laporan itu (bahawa) Najib bersalah, agak-agak boleh tak? Saya sebut nama Najib (dalam mesyuarat) saja pun semua kecoh (bantah),” katanya.
Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mahu siasatan PAC ke atas 1MDB dibuka semula.
Menurutnya, siasatan lanjut boleh dijalankan, jika Dewan Rakyat ketika membahaskan laporan itu, memutuskan ia tidak lengkap, kerana kekurangan dokumen dan bukti mencukupi.
“Rakyat Malaysia tidak bodoh. Laporan PAC itu penuh dengan skandal dan siasatan perlu diteruskan sehingga kita dapat cerita sebenar.
“Ada keperluan untuk mengadakan prosiding jenayah, memandangkan semua jari dituding ke arah orang lain yang perlu bertanggungjawab, bukan hanya (bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB) Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
“Adakah Shahrol berani membuat keputusan sedemikian, jika tiada seseorang yang berkuasa di belakangnya? Artikel 117 dalam Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) 1MDB amat jelas mengenai perkara ini,” katanya.
Artikel 117 di bawah M&A 1MDB antara lain menetapkan semua keputusan mengenai lantikan dan pemecatan pengurusan atasan 1MDB, serta sebarang komitmen kewangan, termasuk keputusan pelaburan 1MDB yang boleh memberi kesan kepada jaminan Kerajaan Persekutuan, perlulah mendapat kelulusan bertulis Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut menyifatkan tindakan membentangkan laporan PAC itu sebagai kesilapan terbesar Kerajaan Barisan Nasional, kerana ia mendedahkan kepada umum kesalahan yang dilakukan sayap pelaburan milik kerajaan itu.
