
Tunku Ismail berpandangan, hanya Teong Kim sahaja yang mengetahui perkara sebenar mengenai bola sepak negara.
TMJ turut mengucapkan syabas terhadap Teong Kim yang berani menyuarakan pandangan mengenai kemerosotan yang dialami oleh pasukan kebangsaan.
“Saya hanya mengiktiraf pendapat satu orang sahaja tentang bola sepak di Malaysia. Beliau adalah Lim Teong Kim. Hanya dia yang tahu apa sebenarnya yang berlaku.
“Syabas kepada saudara Lim Teong Kim,” katanya di Facebook Johor Southerns Tigers.
TMJ memuji demikian susulan sebelum ini Teong Kim menyuarakan pandangannya bahawa pengkritik bola sepak di negara ini dianggap tidak punya `telur’ ekoran tiada inisiatif untuk memajukan sukan yang paling popular di dunia itu.
Katanya, hanya Tunku Ismail yang berani menyuarakan pandangannya dan apa yang dilakukan oleh TMJ adalah sesuatu yang bagus dan mampu membangunkan sukan itu di negara ini.
Johor merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai pelan pembangunan dan memiliki perancangan untuk mengadakan akademi bola sepak serta padang sendiri.