Bekalan air di Johor mungkin dicatu minggu depan

Bekalan air di Johor mungkin dicatu minggu depan

Selain Johor, SPAN turut menyifatkan bekalan air di Perlis adalah paling kritikal ketika ini.

johor_water_600_1

SEPANG:
Penduduk di Perlis dan Johor berkemungkinan akan berdepan dengan catuan air jika keadaan kemarau berterusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd Ridhuan Ismail, berkata pihaknya menyifatkan bekalan air di dua negeri itu adalah paling kritikal ketika ini.

Sehubungan itu, Mohd Ridhuan berkata, SPAN meminta rakyat terutama penduduk Perlis dan Johor supaya menjimatkan penggunaan air.

“Syarikat Air Johor (SAJ) sudah pun meminta kebenaran SPAN untuk melaksanakan catuan air Isnin depan jika keadaan kemarau berterusan.

“Perlis pun kita sedang perhatikan sekarang ini kerana bekalan air di kedua-dua negeri itu memang kritikal berbanding negeri lain,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT, di sini, hari ini.

Mohd Ridhuan berkata, SPAN sentiasa bekerjasama rapat dengan pengendali perkhidmatan air pada musim kemarau bagi memastikan kepentingan pengguna terjaga.

Malaysia dilanda fenomena cuaca panas luar biasa dikenali sebagai El Nino sejak Januari lalu dan dijangka berlarutan sehingga Jun ini.

Keadaan cuaca seperti itu menyebabkan paras air mentah di kebanyakan empangan di seluruh negara menyusut sehingga ada yang melebihi 50%.

Selain itu, Kementerian Pendidikan turut mengarahkan sekolah di Perlis, Kedah dan daerah seperti di Temerloh dan Jerantut ditutup selama beberapa hari akibat gelombang haba dan cuaca terlalu panas pada bulan lepas dan bulan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.