
Beliau berkata kerajaan negeri sememangnya prihatin dengan nasib golongan kurang bernasib baik untuk memiliki rumah dan ia terbukti menerusi pembinaan sebanyak 25,679 unit sejak 2013 hingga Januari lalu.
“Dia (Nga) cerita seolah-olah kerajaan langsung tidak buat apa-apa, hanya membangunkan 800 rumah sahaja. Ia amat mengelirukan. Dia juga nak membandingkan dengan Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media di sini.
Mengenai Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Zambry berkata pengurusan organisasi itu adalah telus terutama dalam pembangunan aset dan mineral yang mampu menjana ekonomi negeri.
“Menerusi MB Inc, prestasi royalti sehingga Februari 2016 telah meningkat sebanyak 106 peratus iaitu RM13.9 juta berbanding RM6.7 juta sebelum ini,” katanya.
Menyentuh isu laporan MB Inc tidak dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Zambry berkata: “Kalau kita lihat secara perbandingan dengan kerajaan negeri lain, perkara mengenai MB Inc memang tidak dibentangkan di dewan.
“Tetapi ini tidak bermakna laporan dari segi kewangan langsung tidak dibentangkan, ia dibentangkan di peringkat Mesyuarat Lembaga,” katanya.
Zambry dengan tegas turut menolak dakwaan Nga yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang berhubung peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) kepada Perak yang kononnya berkurang setiap tahun.
Zambry berkata dakwan itu tidak benar kerana kerajaan Persekutuan meluluskan RM9.6 bilion untuk Perak dalam RMK-11, meningkat 78 peratus berbanding RMK-10, iaitu RM5.37 bilion.
“Apa yang dibangkitkan beliau itu perlu diperbetulkan kalau tidak, rakyat akan percaya apa yang beliau sebutkan. Beliau telah berulang kali membangkitkan perkara ini dalam sidang DUN.
“Kita sudah jawab, dah beritahu tapi itu juga yang dimainkan kerana ini merupakan satu permainan politik oleh mereka khususnya melibatkan kebencian teramat sangat kepada MB Inc,” katanya.
– BERNAMA