EXCO kerajaan Pulau Pinang berkata, beliau telah dihalang memasuki Sarawak pada jam 12.30 tengah malam tadi selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
“Saya telah menerima notis dari pihak Jabatan Imigresen yang menafikan kebenaran saya untuk masuk ke negeri Sarawak. Alasan yang diberi hanyalah nama saya disenaraikan untuk tidak dibenarkan masuk berdasarkan arahan pihak atasan,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, perkara itu amat mendukacitakan kerana dalam negara menuju status negara maju dan lebih daripada 53 tahun pembentukan Persekutuan Malaysia, pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) di Sarawak terpaksa menggunakan taktik bacul dan pengecut untuk menafikan haknya bersama jentera AMK dan PKR bagi menghadapi PRN Sarawak.
“Tindakan pimpinan Barisan Nasional Sarawak ini juga membuktikan bahawa mereka ini sebuah rejim yang akan tidak teragak-agak untuk merampas hak rakyatnya apabila kedudukan dan kekuasaan mereka terancam.
“Tindakan mereka ini juga menjadi bukti bahawa mereka telah gagal menghayati prinsip tertubuhnya negara Malaysia.
“Halangan ini ternyata satu pencabulan ke atas sistem demokrasi dan menafikan hak saya sebagai pimpinan politik untuk berkempen secara terbuka bagi mengajak rakyat Sarawak untuk mengundi parti yang diwakili saya,” tegasnya.
Katanya, sebagai anak muda Malaysia, tanah air Malaysia bukan hanya Semenanjung sahaja tetapi termasuk Sabah dan Sarawak.
“Rasa tanggungjawab saya sebagai politisi muda hari ini bukan hanya berbicara soal kepentingan rakyat di Semenanjung tetapi juga berbicara tentang hak rakyat di Sarawak dan Sabah.
“PKR juga bertanggungjawab untuk mengajak seramai mungkin rakyat di seluruh negara, terutamanya dari Sarawak dan Sabah untuk bersama dalam arus perubahan,” katanya.
Sebelum ini beberapa anggota daripada parti pembangkang telah dihalang daripada memasuki Sarawak.
Antara mereka ialah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, pencipta maskot UBAH, Ooi Leng Hang, Presiden AMANAH Mohamad Sabu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dilaporkan menyatakan bahawa pemimpin-pemimpin pembangkang boleh datang ke Sarawak pada bila-bila masa selepas PRN Sarawak selesai.
