Pelajar mahu saman syarikat bas ekspres cuai

Pelajar mahu saman syarikat bas ekspres cuai

Dia menyedari kehilangan begnya sejurus membuat pemeriksaan di bahagian tempat letak barang.

bas tinggal

PETALING JAYA:
Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) bercadang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah syarikat bas ekspres ekoran didakwa melakukan kecuaian hingga menyebabkan begnya yang disimpan ditempat letak barang tercicir.

Mohd Khairi Abd Hadi, 23, yang merupakan pelajar tahun akhir jurusan Perkhidmatan Makanan di universiti berkenaan berkata, dia memberi tempoh sehingga hari ini kepada syarikat bas terbabit untuk mendapatkan semula begnya yang hilang itu.

Menceritakan mengenai kejadian yang berlaku, Khairi berkata, dia menggunakan khidmat syarikat pengangkutan awam terbabit pada Ahad lepas dari Terminal Bas Amanjaya, Ipoh untuk pulang ke kampusnya di cawangan Dungun Terengganu.

Katanya, dia mengetahui mengenai kehilangan begnya selepas bas yang baru sahaja berlepas lebih kurang enam kilometer dari terminal berhenti dan bergegas turun untuk memeriksanya di bahagian tempat letak barang.

“Pemandu bas yang melihat dari cermin sisi memberitahu pintu tempat letak barang di bawah bas terbuka dan kemudian berhenti di lorong kecemasan di lebuh raya.

“Selepas saya turun untuk memeriksa didapati beg yang berisi peralatan penting tiada dan saya yakin ia telah tercicir.

“Saya ada tanya pada pemandu bagaimana ia boleh berlaku dan dia hanya menjawab akan meminta bantuan daripada rakan sekerjanya untuk mencari beg itu,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Namun katanya, sehingga hari ini syarikat bas terbabit tidak memberikan sebarang jawapan mengenai perkara itu malah, tidak pun menyatakan sebarang permohonan berhubung kejadian yang berlaku.

Khairi mendakwa, syarikat bas terbabit juga tidak ada menyatakan mahu membayar ganti rugi meskipun dia ada membuat tuntutan mengenainya.

“Saya sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan turut dimaklumkan oleh pihak berkenaan bahawa ia bukanlah kejadian pertama membabitkan syarikat bas terbabit dan banyak aduan sudah diterima mengenainya,” ujarnya.

Bercakap mengenai gambarnya yang menjadi viral di laman sosial, Mohd Khairi berkata, ia adalah gambar yang dirakam selepas dia ditinggalkan bas terbabit di tepi lebuh raya.

Katanya, dia meminta supaya pemandu bas meninggalkannya kerana mahu menunggu ayahnya mengambilnya di situ.

“Buat apa saya nak naik bas itu sampai ke Terengganu sedangkan segala barang penting seperti kunci rumah, kunci kereta, kad matrik dan laptop yang berada dalam beg itu lesap angkara kelalaian pemandu bas terbabit,” katanya lagi.

Tegas Khairi, dia akan menghubungi semula syarikat bas terbabit hari ini untuk mendapatkan perkembangan mengenai kehilangan begnya itu dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya beg itu tidak ditemui atau syarikat bas itu enggan membayar sebarang gangti rugi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.