Catu air jika empat hari tidak hujan – MB Perlis

Catu air jika empat hari tidak hujan – MB Perlis

Ketika ini, paras air di Empangan Timah Tasoh berada pada paras 26.29 meter, susut 0.02 meter berbanding 26.31 meter semalam

azlan-man,perlis

KANGAR:
Catuan air akan dilaksanakan serta-merta di Perlis, jika paras air di Empangan Timah Tasoh terus merosot sehingga paras 26.2 meter.

“Sekiranya hujan tidak turun dalam masa empat hari lagi, kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan melainkan mencatu air, kerana sumber utama bekalan dari Empangan Timah Tasoh semakin surut,” kata Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man hari ini.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan Negeri akan bermesyuarat dengan agensi terlibat untuk menentukan kawasan yang akan terbabit dengan catuan air dan tindakan lanjut untuk membantu penduduk terjejas.

Jelasnya, operasi pembenihan awan akan dilakukan hari ini di kawasan Empangan Timah Tasoh oleh Jabatan Meteorologi Malaysia yang dijangka berlanjutan sehingga 18 April ini.

Ketika ini, paras air di Empangan Timah Tasoh berada pada paras 26.29 meter, susut 0.02 meter berbanding 26.31 meter semalam.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) Perlis, Abdul Najib Abdullah menjangkakan bekalan air itu mampu memenuhi keperluan domestik sehingga Mei ini, jika keadaan kemarau ketika ini berlanjutan.

Katanya, empangan tersebut yang menampung 13.21 juta meter padu air, menyalurkan 58,000 meter padu air sehari kepada pengguna domestik di
kawasan Padang Besar, Wang Kelian dan utara Kangar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Perlis, Muhammad Khalil Ab Jalil ketika dihubungi berkata, suhu tertinggi yang direkodkan pada jam 1 tengah hari tadi ialah 35.4 darjah celsius, berbanding 36.3 darjah celsius semalam.

-BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.