Beliau menjelaskan, hanya penginapan dan makan tokoh ilmuan Islam itu dibiayai kerajaan negeri, manakala perbelanjaan lain dibiayai sendiri oleh Dr Zakir sendiri menerusi Islamic Research Foundation.
“Kerajaan negeri hanya menyediakan (menanggung) penginapan dan makan minum sepanjang beliau berada di sini,” katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi, sebagai mengulas dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan negeri mengeluarkan kos banyak untuk membawa Dr Zakir ke Terengganu.
Ahmad Razif berkata, Dr Zakir sememangnya pejuang agama yang wajar dicontohi, malah rakyat Terengganu bertuah, kerana pendakwah terkenal itu bersetuju hadir untuk menyampaikan ceramah.
Undangan kepada Dr Zakir, 50, dibuat tahun lepas, apabila Ahmad Razif menemui tokoh ilmuan Islam itu di Korea Selatan, semasa melakukan lawatan kerja.
Terdahulu, dalam ceramah bertajuk ‘The Importance of Unity Among Muslim Ummah’ (Pentingnya Perpaduan Dalam Kalangan Ummah Islam) selama dua jam di Stadium Tertutup Gong Badak, Dr Zakir menekankan pentingnya bersatu dalam mengukuhkan Islam.
Katanya, umat Islam perlu mengelak perbalahan sesama sendiri, kerana ia hanya akan merosakkan perpaduan serta amat merugikan.
Sesi ceramah yang bermula jam 9.45 malam itu, disusuli sesi soal jawab sebelum tamat kira-kira jam 1 pagi.
Hampir 30,000 orang memenuhi bahagian dalam dan luar stadium untuk mengikuti ceramah itu.
Dr Zakir yang pertama kali berkunjung ke Terengganu akan berada di negeri itu selama lima hari dan dijadual menyampaikan ceramah di pelbagai tempat termasuk universiti.
Sebelum menceburi bidang dakwah, Dr Zakir yang pernah dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat antarabangsa pada 2013, terlatih sebagai doktor perubatan.
– BERNAMA