Sehubungan itu, Ahli Parlimen Padang Rengas itu menggesa pihak lain supaya menghormati hak negeri itu untuk berbuat demikian.
“Kami perlu menghormati perjanjian yang telah dibuat dengan Sabah dan Sarawak, apabila Malaysia ditubuhkan pada 1963.
“Cara hidup mereka berbeza dengan kita. Malah, perpaduan kaum mereka amat baik berbanding Semenanjung Malaysia. Mereka tidak bercakap mengenai perbezaan pendapat dan pandangan.
“Jadi, saya faham kenapa Ketua Menteri menyekat ahli-ahli DAP dari Semenanjung, kerana mereka lazimnya cauvinis dan perkauman.
“Mereka akan menggunakan isu-isu perkauman dan menimbulkan ketegangan agama di sana,” kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu dalam sidang media di pejabatnya hari ini.
Nazri mengulas senarai pemimpin pembangkang yang dilarang memasuki Sarawak, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 akan datang.
Terbaru, exco Pulau Pinang daripada PKR, Datuk Abdul Malik Abul Kassim ditahan, setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam.
Pemimpin pembangkang lain yang dilarang menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang, termasuk Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok; Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua; Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli; Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.
Adenan menjelaskan, kerajaan negeri itu menggunakan kuasa imigresennya untuk mengekalkan keharmonian agama dan ketenteraman di Sarawak.