MB Johor dapat sokongan penuh EXCO, UMNO negeri

MB Johor dapat sokongan penuh EXCO, UMNO negeri

Md Jais turut menerima panggilan sehingga larut malam daripada rakan-rakannya yang bertanyakan berkenaan perkara itu.

jais,khaled

PETALNG JAYA:
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mendapat sokongan penuh semua pihak termasuk barisan anggota EXCO mahupun UMNO negeri.

Perkara itu dinyatakan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Md. Jais Sarday yang mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka yang berdiri teguh bersama Menteri Besar Johor itu.

“Seharian hingga larut malam saya menerima panggilan (telefon) dan mesej menyatakan kebimbangan dengan perkara itu (menggulingkan Menteri Besar).

“Kami, barisan kepimpinan kerajaan negeri dan UMNO Johor akan terus mendokong kepimpinan beliau (Mohamed Khaled) untuk menjayakan Gagasan Johor Berkemajuan,” tulisnya di Facebook.

Md Jais yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Koperasi dan Pembangunan Usahawan negeri berkata, beliau faham perasaan sahabat dan rakan-rakannya dalam parti mahupun kerajaan apabila ada spekulasi tidak sihat cuba dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau mengulas pendedahan ahli UMNO, Bahagian Sri Gading, Shukur Mohamed baru-baru ini apabila mendakwa, wujud konspirasi oleh kumpulan penyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyingkirkan Mohamed Khaled sebagai Menteri Besar Johor.

Kumpulan itu didakwa diketuai seorang timbalan menteri yang akan menjadi Menteri Besar Johor yang baharu menggantikan Mohamed Khaled dengan alasan bagi mengawal UMNO Johor tidak menentang Najib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.