Fitnah kaitkan saya gerakan jatuhkan MB Johor – Aziz Kaprawi

Fitnah kaitkan saya gerakan jatuhkan MB Johor – Aziz Kaprawi

Beliau menasihatkan pihak yang membuat dakwaan itu supaya bertaubat dan kembali ke jalan Allah.

Datuk Aziz Kaprawi

PETALING JAYA:
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi menyifatkan dakwaan yang mengaitkan beliau mengetuai gerakan menggulingkan Menteri Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai fitnah.

Ahli Parlimen Sri Gading berkata, beliau langsung tidak tahu menahu ada gerakan seperti yang didakwa seorang ahli UMNO bahagiannya, Shukur Mohamad yang juga anak Speaker Johor, Tan Sri Mohamad Aziz.

“Yang pasti, saya tidak tahu menahu tentang adanya gerakan untuk guling Menteri Besar Johor. Kalau ada dakwaan cuba kaitkan saya yang ketuai gerakan tersebut, itu semua fitnah,” kata Aziz seperti dilaporkan sebuah portal.

Beliau juga menasihatkan pihak yang membuat dakwaan itu supaya kembali ke jalan Allah.
“Hubungan saya dengan Khaled sangat baik dan saya sentiasa menyokong kepimpinan beliau tanpa berbelah bahagi untuk terus menerajui Johor.

“Pihak yang membuat fitnah seperti ini sebenarnya sakit hati melihat hubungan baik yang terjalin antara saya dengan Khaled.

“Tujuannya antara lain mungkin untuk memecahbelahkan ahli UMNO negeri ini,” katanya yang menganggap pihak yang membuat tuduhan itu sebagai tidak waras.

“Sebaiknya, bertaubatlah sebelum terlambat. Tak payahlah nak fitnah saya untuk rosakkan hubungan saya dengan UMNO Johor terutama Khaled,” tegasnya.

Kontroversi mula tercetus selepas Shukur menerusi status Facebook mendedahkan gerakan menjatuhkan Khaled diketuai seorang timbalan menteri yang juga kumpulan penyokong Datuk Seri Najib Razak.

Dakwaan itu dinafikan pimpinan UMNO yang menyifatkan mengarut, membazir masa dan tidak logik kerana mana mungkin ahli parlimen menjadi menteri besar.

Shukur bertegas mempertahankan dakwaan itu dan hanya bersedia mendedahkan nama pemimpin yang terlibat dalam gerakan itu jika ada pihak yang mengheretnya ke mahkamah.

Dia juga mengaku pendedahan itu bagi menyelamatkan kedudukan Khaled.

Dakwaan itu mendapat perhatian Istana Johor apabila Tuanku Mahkota Johor (TMJ), Tuanku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambar-gambar baginda dan ayahandanya, Sultan Johor bersama Khaled yang dilihat sebagai menunjukkan hubungan baik Istana Johor dengan Menteri Besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.