1MDB: Najib diminta tidak layan tuduhan

1MDB: Najib diminta tidak layan tuduhan

Veteran UMNO menasihatkan Perdana Menteri mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menuduhnya menyeleweng dana 1MDB.

Datuk Mustapha Yaakub

KUALA LUMPUR :
Veteran UMNO (Veteran) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak lagi melayan sebarang‎ tuduhan yang mengaitkan beliau dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, laporan yang dibentang Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen semalam, jelas mendapati Perdana Menteri tidak terlibat dalam isu membabitkan syarikat berkenaan, termasuk dakwaan bertanggungjawab dengan kehilangan wang RM42 bilion dan tuduhan menggunakan wang 1MDB untuk tujuan peribadi.

Mustapha berkata, pihaknya sememangnya menunggu laporan dan pengesahan PAC yang diketuai Datuk Hassan Arifin itu.

“Veteran yakin, laporan PAC yang keanggotaannya terdiri dari wakil-wakil kerajaan BN dan pembangkang adalah telus dan tidak boleh dibeli atau disogok.

Oleh itu, tidak ada sebab keputusan itu harus dipersoalkan oleh mana-mana pihak yang rasional, kecuali mereka yang tidak mahu mengalah dan mahu menegak benang basah serta berniat jahat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sehubungan itu, katanya pihaknya menggesa Perdana Menteri untuk tidak lagi membazir masa melayan kerenah mereka yang memang berniat jahat dan cuba menjatuhkan beliau dengan secara tidak sah dan tidak mengikut lunas saluran demokrasi.

“Sekiranya selepas laporan PAC ini masih ada pihak yang masih menuduh Najib terlibat dengan kehilangan wang 1MDB dan penyaluran RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya, Veteran mahu supaya Najib mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka,” katanya.

Mustapha berkata, pihaknya juga mahu laporan PAC itu diperjelaskan kepada rakyat dalam bahasa yang mudah difahami oleh semua pihak termasuk media.

Justeru, katanya, pihak terlibat termasuk menteri-menteri, ketua jabatan dan pemimpin BN perlu turun padang untuk memperjelaskan keputusan PAC itu.

“Tindakan ini perlu dilakukan bukan untuk membersihkan nama Najib tetapi untuk membersihkan nama kerajaan yang tercemar dengan tuduhan dan fitnah liar oleh pembangkang dan mereka yang mahu Najib dijatuhkan sebagai ketua kerajaan,” katanya.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.