Tan Sri Mohamad Aziz yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, beliau sendiri tidak tahu jika gerakan seperti mana didakwa anaknya itu menerusi laman sosial, benar-benar berlaku.
“Saya mahu tahu hal sebenar berhubung perkara ini tetapi setakat ini dia masih tidak menjawab panggilan telefon saya dan saya masih menunggu dia menghubungi saya semula.
“Jika benar ada gerakan sepertimana kata Shukur, saya mahu tahu dari mana dia peroleh maklumat itu dan siapa lagi yang terlibat,” katanya lapor The Star.
Menurut Mohamad, beliau telah menerima banyak panggilan bertanyakan mengenai posting yang dibuat oleh anaknya itu dan hanya menjawab pertanyaan tersebut dengan mengatakan beliau sendiri tidak tahu mengenainya.
Semalam, heboh di media sosial, Facebook apabila Shukur memuat naik status mendakwa ada gerakan yang diketuai seorang timbalan menteri dari Johor yang mahu menyingkirkan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin daripada jawatan Menteri Besar.
Dia turut memberitahu, timbalan menteri terbabit menawarkan RM1 juta kepada individu yang mampu mendapat persetujuan sekurang-kurangnya 20 cawangan UMNO Bahagian Pagoh untuk menolak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin sebagai Ketua Bahagian.
