EXCO janji segera selesai masalah di Stadium Malawati

EXCO janji segera selesai masalah di Stadium Malawati

Amirudin hairan memandangkan penganjur sudah membuat pemeriksaan awal terhadap keadaan di stadium berkenaan.

amir,stadium

PETALING JAYA:
Masalah yang berlaku di Stadium Malawati Shah Alam akan cuba diatasi secepat mungkin bagi mengelak gangguan kepada peserta Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang kini sedang berlangsung.

EXCO Sukan, Amirudin Shari memberi jaminan itu sambil memberitahu akan meminta pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah yang berlaku itu.

“Saya baru sahaja mendapat laporan. Saya akan minta pihak bertanggungjawab untuk membaiki keadaan di stadium,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau mengulas aduan oleh beberapa pemain badminton dari China, termasuk Lin Dan yang melahirkan rasa tidak berpuas hati berikutan beberapa perkara yang mengganggu konsentrasinya dalam permainan di stadium berkenaan.

Antara masalah yang berlaku menurutnya, terdapat aliran angin yang kuat serta gelanggang pemanas badan yang dirasakan kecil.

Dalam pada itu, mengulas mengenai gelanggang pamanas badan yang dikatakan sempit, Amiruddin berkata, tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh pihaknya memandangkan itu sahaja ruang yang ada.

Menurut laporan Malay Mail Online, perlawanan antara beregu China, Tang Yuanting-Yu Yang dan beregu negara, Goh Yea Ching-Peck Yen Wei semalam terpaksa dihentikan dan berpindah ke gelanggang lain selepas air yang dipercayai daripada penghawa dingin menitis di gelanggang yang digunakan hingga boleh mendapatkan bahaya kepada pemain.

Namun, Amirudin menyatakan kehairanannya memandangkan penganjur sudah membuat pemeriksaan awal terhadap keadaan stadium sebelum membuat pemilihan.

“Baikpulih juga sudah dibuat sebelum ini, sebab itu stadium ini dipilih berbanding gelanggang-gelanggang lain.

“Di tengah-tengah kejohanan baru timbul masalah pula. Tetapi kita akan baiki dan cuba atasinya,” katanya yang merupakan ADUN Batu Caves.

Ketika Kejohanan Pingpong Berpasukan Dunia (WTTC) di stadium sama pada bulan lalu, media turut melaporkan masalah sama, apabila penghawa dingin di dalam stadium itu mengeluarkan angin yang terlalu kuat serta berlaku kebocoran hingga menyebabkan air hujan masuk ke gelanggang utama.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memilih stadium berkenaan untuk mengadakan aksi perlawanan itu selepas Stadium Putra Bukit Jalil yang biasa digunakan ditutup ekoran kerja-kerja baikpulih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.