Dia hina saya sebagai Speaker – Pandikar

Dia hina saya sebagai Speaker – Pandikar

Pandikar langsung tidak kesal dengan keputusan Kabinet yang hanya menerima tiga daripada empat cadangan penambahbaikan Parlimen yang dicadang wakil rakyat BN dan pembangkang.

Lim-lip-eng
KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng mendesak Speaker Dewan Rakyat meletak jawatan disifatkan sebagai satu penghinaan.

Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, gesaan itu jelas menunjukkan Lip Eng tidak menghormati jawatannya, termasuk tugasnya yakni memayungi semua ahli Parlimen.

“Bila dia berkata begitu, dia hina saya sebagai Speaker. Mana boleh ahli Parlimen hina kedudukan Speaker? Bukan hina saya sebagai Pandikar Amin Mulia, tetapi kedudukan Speaker itu sendiri,” tegasnya ketika ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, bila tiba masanya, beliau akan berundur tanpa paksaan mana-mana pihak.

“Jika dia (Lim) hendak letak jawatan, biarkan. Apabila tiba masa untuk saya letak jawatan, saya akan buat. Jika mereka mahu memotong gaji saya, biarlah mereka yang potong,” katanya.

Pandikar mengaku beliau langsung tidak kesal dengan tindakan Kabinet yang hanya menerima tiga daripada empat cadangan penambahbaikan Parlimen disyorkan wakil rakyat Barisan Nasional dan pembangkang.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ahli-ahli Parlimen supaya tidak membuat kenyataan tidak masuk akal, lebih-lebih lagi yang melanggar akta atau peraturan.

“Kita hidup dalam sebuah negara demokrasi, mana-mana ahli Parlimen boleh beri kenyataan, tetapi kenyataan itu haruslah masuk akal. Jadi, tidak akan ada isu melanggar mana-mana akta atau peraturan,” katanya lagi.

Tahun lalu, Pandikar bertindak menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri dan hanya bersetuju menarik balik keputusan itu, selepas Datuk Seri Najib Razak berjanji akan melakukan pembaharuan Parlimen.

Justeru, Lip Eng mempersoalkan Pandikar jika beliau benar-benar serius mahu mengotakan janjinya, sedangkan satu daripada empat cadangan pembaharuan Parlimen telah ditolak Kabinet.

Tiga cadangan yang diluluskan Kabinet ialah penubuhan Parlimen mini, tambahan 30 minit kepada menteri-menteri bagi menjawab soalan-soalan wakil rakyat serta mengurangkan tempoh penyerahan soalan wakil rakyat dari 14 hari kepada 10 hari.

Manakala cadangan yang ditolak Kabinet ialah penubuhan Jawatankuasa Pemilihan.

“Bagi saya, ini paling penting (kerana) sebelum rang undang-undang boleh dibentangkan di Parlimen, akan ada Jawatankuasa Pemilihan yang dianggotai (wakil rakyat) BN dan pembangkang untuk bincang dan teliti rang undang-undang itu,” kata Lip Eng di ruang legar Parlimen, hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.