Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata badan anti-rasuah dan Lembaga Hasil Dalam Negeri perlu mengenalpasti sebab-musabab individu-individu berkenaan membuka terbabit dengan syarikat luar pesisir.
“Apakah ia semata-mata demi mengelakkan diri daripada membayar cukai, atau terlibat dengan pelaburan wang haram, atau untuk perkara lain yang berniat baik?” soalnya dalam satu kenyataan yang diterima FMT.
Katanya, dengan tersenarainya nama rakyat Malaysia yang terlibat dengan aktiviti kewangan di luar negara, ia akan memberi kesan buruk kepada Malaysia di mata Integriti Kewangan Global (GFI) – badan antarabangsa yang memantau aliran wang haram.
“PAS menggesa tindakan sewajarnya perlu diambil atas kesalahan melanggar undang-undang negara terutamanya dari segi mengelakkan cukai,” tegas Tuan Ibrahim.
Panama Papers merupakan dokumen bocor yang menyenaraikan akaun dan pelaburan luar pesisir pantai nama-nama terkemuka dunia.
Antara yang dinamakan termasuk anak Perdana Menteri, Mohd Nazifuddin Mohd Najib; anak bekas Perdana Menteri, Mirzan Mahathir, bekas Menteri Raja Nong Chik Zainal Abidin dan cukong balak, Michael Chia.
Memetik Konsortioum Wartawan Penyiasat Antarabangsa (ICIJ), Nazifuddin berkata PCJ International Venture digunakan untuk perniagaan antarabangsa tetapi tiada transaksi niaga, dan ia telah ditutup.
Manakala dalam hal Jay Marriot International pula, saham miliknya telah dijual kepada kakak Ch’ng Soon Sen yang merupakan pengarah syarikat itu, sebelum meletak jawatan sebagai pengarah pada 2011.
