Kes itu berlaku di Chuping, pada 28 Mac lalu, apabila seorang pejalan kaki yang melalui sebuah rumah, digigit seekor anjing berusia kira-kira 9 bulan.
Jurucakap Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perlis yang dipetik Sin Chew Daily mengesahkan kes itu dan memaklumkan, anjing itu menunjukkan simptom penyakit anjing gila atau rabies tahap kedua.
Selepas menggigit lelaki terbabit, anjing itu telah mati dan keputusan analisis sampel otak haiwan terbabit dijangka diketahui dalam minggu ini.
Menurut jurucakap itu, pihaknya pada permulaan merancang mengambil 40 sampel otak anjing liar secara rawak di beberapa lokasi yang pernah mencatatkan kes manusia digigit anjing dijangkiti virus rabies.
“Bermula akhir Februari lalu, kami telah mengambil 10 sampel di Kangar, Arau dan Padang Besar yang kesemuanya didapati negatif virus rabies.
“Tetapi, tidak sangka, minggu lalu berlaku kes manusia digigit anjing yang disyaki dijangkiti virus rabies lagi,” katanya.
Difahamkan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada awalnya bercadang mengisytiharkan Perlis bebas penyakit anjing gila dalam tempoh terdekat, dengan kes terakhir manusia digigit anjing dijangkiti virus rabies pada 17 November 2015.
